Ini bukan cerita filem ‘Evolusi KL Drift’ atau cerita lagu ‘Revolusi’ dari Bunkface. Dan tidak, anda tidak tersalah laman web, dan saya juga tidak menggodam laman web ini. Ini adalah proses evolusi Jiboneus.com. Evolusi yang bakal melahirkan Revolusi Jiboneus.
Evolusi menyaksikan kepupusan suatu spesis dan kelahiran suatu spesis baru. Evolusi Jiboneus.com pula menyaksikan pemergian J. Shamsul yang pernah menjadi penyumbang tetap di sini dan kedatangan penulis baru Sharra yang bakal mengubah haluan Jiboneus.com menjadi laman web berbahasa Melayu. J. Shamsul tidak akan menulis lagi.
Sila tutup mulut anda. Dengan tapak tangan anda jika ada jeritan yang dikeluarkan sebentar tadi. Kembalikan bola mata anda kepada saiz normal. Jika perlukan bahan stimulan untuk menggerakkan daya fikir anda dengan lebih lancar, sediakan kotak rokok di sebelah anda sebelum terus membaca.
Suatu perkara yang tidak mengalami sebarang anjakan evolusi selalu digelarkan sebagai konservatif. Suatu yang konservatif selalu ditinggalkan di belakang. Hanya peminat barangan klasik, penggali artifak atau pencinta sejarah sahaja yang masih mahu mengekalkan suatu yang konservatif. Anda yang lain sentiasa mengejar akan sesuatu yang baru. Yang lebih unik. Yang luar biasa. Yang tiada pernah anda jumpa. Oleh itu, Jiboneus.com harus bergerak sebelum jatuh kepada kategori laman antik.
Nyalakan rokok anda dahulu. Apa sudah jadi dengan J. Shamsul?
Tidak mungkin Jiboneus.com berevolusi dengan membuang gen prima J. Shamsul dan menggantikan gen baru Sharra. Seekor burung tidak akan berevolusi menjadi seekor gajah. Evolusi hanya berlaku apabila mutasi gen berlaku, dan jika gen asal adalah burung, spesis baru yang muncul pasti berupa burung juga. Gen asal Jiboneus.com sebenarnya hanya mengalami mutasi.
Mutasi terhadap gen asal Jiboneus.com ini telah melahirkan spesis Jiboneus.com terbaru yang kini akan muncul sebagai laman dwi-bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Persis tikus roden yang berevolusi menjadi musang dan serigala. Cuma musang yang terevolusi terlebih dahulu sebelum serigala. Seperti munculnya J. Shamsul sebelum Sharra.
Mana mungkin musang pupus. Bukan sekarang. J. Shamsul masih ada. Masih menulis. Di laman web ini. Dalam bahasa Inggeris. Beliau akan terus menyajikan anda dengan treler terkini dari filem-filem baru dan lama, video-video pilihan yang pastinya tidak pernah anda tahu kewujudannya, khabar dari konsert dan gig, serta picisannya terhadap muzik aliran semasa. Sekarang sila hembus asap kelegaan anda.
Dan saya, Sharra lahir dari evolusi Jiboneus.com akan bergandingan dengan J. Shamsul dalam menyumbangkan suara hati dan fikiran terhadap kegiatan seni terkini dalam bahasa Melayu. Sekarang sila sedut asap nikotin anda.


