Di benua Asia, negara Jepun, Indonesia dan Thailand merupakan negara-negara tertua yang mengamalkan lukisan tatu di badan iaitu sejak zaman kuno lagi. Kini amalan tatu telah berevolusi menjadi suatu cacahan kesenian yang indah. Setiap tatu membawa cerita tersendiri. Setiap tatu adalah simbolik.
Saya pernah mendengar kata-kata ini, “bawakan seorang yang bertatu, dan anda akan dapat mendengar satu kisah yang mengasyikkan”. Namun jika anda berada di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 6-8 November 2009, anda pasti dapat mendengar lebih dari satu kisah kerana disinilah akan berkumpulnya penggemar seni tatu dari seluruh dunia.
Buat pertama kalinya di Malaysia, Konvensyen Tatu KL 2009 (Tattoo Convention KL 2009) akan diadakan di peringkat antarabangsa. Dan penganjurnya, Three Angles Production, sebuah syarikat dari Singapura menjanjikan artis-artis terbaik dunia dalam mempersembahkan seni cacahan tatu kepada umum. Pengunjung-pengunjung konvensyen ini juga berpeluang mendapatkan cacahan tatu eksklusif dengan menempah slot masing-masing menerusi laman web artis-artis pilihan sendiri.
Selama ini kita hanya dipertontonkan dengan hasil tangan artis-artis pencacah tatu mengikut citarasa pelanggan-pelanggan mereka. Dalam konvensyen ini nanti, artis-artis ini berpeluang untuk mempamerkan kehebatan mereka mengikut citarasa mereka sendiri di atas pentas Pertandingan Tatu Terbaik. Artis tatu terkemuka dunia, Chris Garver dari Miami Ink juga bakal berada di sana!
Tiket berharga serendah RM40 hanya boleh didapati pada hari pameran dan tiada dijual secara atas talian. Pastinya dengan aktiviti-aktiviti pameran dan persembahan yang padat sepanjang konvensyen termasuk Seminar Tatu yang julung kalinya diadakan di Malaysia, pihak penganjur menjangkakan kunjungan ulangan pelawat lantas menyediakan diskaun bagi tiket untuk akses selama 3 hari dengan harga RM100 sahaja.
Namun kegagalan pihak penganjur untuk mengumumkan jadual aturcara rasmi Konvensyen Tatu KL 2009 hingga ke hari ini sedikit sebanyak menghampakan pengunjung dalam merancang lawatan mereka ke pameran ini. Tambahan pula terdapat desas-desus mengatakan bahawa konvensyen ini telah dibatalkan menghangatkan lagi isu kredibiliti pihak penganjur dalam merealisasikan konvensyen yang dinantikan bukan sahaja oleh komuniti peminat tatu di Malaysia, malah di Singapura, Brunei dan Thailand.
Tinggal 23 hari sahaja sebelum konvensyen ini berlangsung pada bulan November 2009. Namun, saya sendiri belum mendapat kenyataan rasmi daripada pihak penganjur dalam mengiyakan atau mempertikaikan pembatalan konvesyen ini. Jika benar konvesyen ini dibatalkan atas sebab-sebab polisi di Malaysia seperti yang diwar-warkan, senario itu tidaklah akan menjadi suatu kejutan bagi saya.


