Khabar angin tentang pembatalan Konvensyen Tatu KL 2009 (Tattoo Convention KL 2009) bukanlah sesuatu yang baru. Cakap-cakap kosong ini sudah kedengaran sejak Ogos lalu yang mengaitkan kredibiliti Three Angles Production. Pihak penganjur dari Singapura ini kononnya dikatakan mengalami masalah kewangan yang besar untuk membawa masuk artis-artis pencacah tatu dari seluruh dunia, namun dakwaan ini disangkal oleh orang-orang kuat pihak penganjur dan telah mengecamnya sebagai sabotaj.
Three Angles Production membuktikan kenyataan mereka selepas itu dengan mengumumkan senarai nama-nama artis terbaru yang telah mengesahkan penyertaan mereka pada akhir bulan September 2009. Promosi tapak pameran juga kian digamatkan pada awal Oktober ini lantas memulihkan keyakinan bakal-bakal pengunjung termasuk saya sendiri.
Namun, pada awal minggu ini, sekali lagi kedengaran desas-desus pembatalan konvesyen ini. Dan kali ini, tiada reaksi ditunjukkan oleh pihak penganjur. Tiada sangkalan atau penafian.
Sehinggalah semalam, 13 Oktober 2009, sebuah kenyataan ringkas diumumkan oleh Three Angles Production. Konvensyen Tatu KL 2009 secara rasminya telah dibatalkan!
Saya juga telah menerima emel peribadi daripada Chris Ang, penerbit acara khas dari pihak penganjur pada tengahari semalam mengesahkan pembatalan konvensyen antarabangsa tersebut. Berbeza daripada emel yang dikirim kepada ahli-ahli kumpulan Tattoo Convention KL di Facebook, Chris Ang tidak menyatakan sebab-musabab pembatalan konvensyen yang dinanti-nantikan itu. Namun alasan masalah permit dan lesen dinyatakan dalam emel-emel ahli-ahli yang lain.
Alasan masalah permit dan polisi di Malaysia telah mengundang sedikit kekecohan. Khabar angin tentang masalah kewangan yang dihadapi didakwa tidak diakui oleh pihak penganjur. Malah pihak penganjur kononnya mengambil langkah memburukkan nama Malaysia kerana tidak membenarkan acara sedemikian dilangsungkan sebagai menutup pekung di dada. Namun, secara peribadi saya tidak fikir alasan masalah permit adalah tindakan menconteng nama Malaysia kerana semua sudah sedia maklum akan undang-undang dan garis panduan di sini, jadi perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu.
Komen-komen di papan perbincangan Kumpulan Facebook juga telah dipadamkan oleh Three Angles Production, sekaligus memadam segala cerca dan kontroversi yang dibangkitkan berikutan pembatalan konvensyen ini. Malah, di laman web rasmi acara ini juga sudah siap terpampang pengumuman yang mengundang kekecewaan dan kemarahan beratus-ratus orang dalam komuniti tatu.
Dan tindakan-tindakan drastik ini adalah selepas syarikat Singapura ini dihubungi oleh saya sebelum menulis tentang konvensyen antarabangsa ini semalam. Persoalannya sekarang, mengapa konvensyen hebat ini dibatalkan setelah pemasaran gah dilaksanakan yang secara langsung memberikan harapan tinggi kepada segenap komuniti penggemar tatu?
Tiga bulan lalu saya agak skeptikal apabila mengetahui tentang Konvensyen Tatu KL 2009 yang digembar-gemburkan bakal berlangsung di PWTC. Konvensyen yang dijadualkan pada bulan November 2009 ini dirancangkan untuk menghimpunkan penggiat-pengiat seni tatu dari seluruh dunia bagi mempamerkan keindahan lukisan badan yang dihasilkan, kemahiran mencacah termasuk pendidikan kesihatan dan seminar yang berkaitan dengan seni badan ini. Cuma, yang agak ironi adalah pemilihan tempat persidangannya.
Seni mencacah tatu bukanlah suatu budaya yang mudah diterima secara terbuka di negara kita. Sebagai sebuah negara Islam, undang-undang Malaysia tidak membenarkan sebarang pertunjukan atau promosi secara terbuka terhadap segala bentuk amalan atau produk yang bertentangan dengan agama Islam, namun terkecuali kepada praktis berbentuk keagamaan. Oleh itu, pada fikiran saya pelepasan permit terhadap konvensyen ini adalah suatu yang agak mustahil.
(Saya percaya ada yang masih ingat tentang pertunjukan seni tatu di bandar Miri atau Sibu pada tahun 2006. Itu adalah suatu acara yang berbeza dan tidak boleh disamakan dengan persidangan ini. Saya tidak akan membincangkan perbezaaannya pada entri ini.)
Konvesyen Tatu KL 2009 telah mula dipromosikan secara besar-besaran sejak Julai 2009 dengan menjanjikan kehadiran artis-artis pencacah tatu terkemuka dunia. Malah bakal-bakal pengunjung dibenarkan mendapatkan cacahan tatu di tempat konvensyen itu sendiri. Bayangkan hanya dengan RM40 tiket masuk ke dewan pameran, anda boleh mendapatkan khidmat Chris Garver dari Miami Ink!
Ada yang meloncat gembira apabila mendengar promosi hebat ini namun ia sebenarnya mendatangkan satu lagi kegusaran kepada saya secara peribadi. Mampukah pihak penganjur menyediakan persekitaran yang bersih bagi aktiviti mencacah dilakukan secara langsung di dewan pameran? Adakah pihak penganjur akan membataskan lawatan terhadap pengunjung-pengunjung berusia 18 tahun dan ke atas sahaja?
Tindakan yakin oleh pihak penganjur dalam menghebohkan acara ini sebelum mendapat kelulusan rasmi mempamerkan sedikit sebanyak kecetekan usul periksa mereka terhadap polisi di Malaysia. Reputasi syarikat penganjur yang menjadi taruhan kini tercalar di peringkat antarabangsa. Sekali gus membangkitkan kemarahan ramai kroni-kroni tatu seantero.

Saya kira skeptikalisme saya ini walau pun sedikit turut dirasai oleh agensi berkuasa lantas mengambil jalan pintas untuk tidak meluluskan persidangan tersebut. Sama ada isu permit atau kewangan, yang nyatanya tiada keramaian bertatu bulan hadapan. Sangat mengecewakan, bukan? Saya percaya ramai yang menyumpah-seranah sejak hari semalam.
Popularity: 21% [?]
