Tinggal tujuh hari sahaja lagi. Bagi mereka yang tidak pernah menonton teater moden, Teater Muzikal Cuci merupakan suatu permulaan yang baik. Pementasan terakhir adalah pada 8 November 2009. Dan jika anda merupakan penonton tegar seni lakonan pentas, teater muzikal komedi ini cukup cantik untuk dihiaskan dalam koleksi pengalaman anda!
Mengapa anda harus tonton Teater Muzikal Cuci? Adakah kerana Hans Isaac memukau hadirin dengan suara misterinya mendendangkan lagu sentimental? Adakah kerana jarang-jarang prop lif didirikan di atas pentas? Atau pun kerana benar terdapat gondola naik turun di atas pentas menyaksikan detik romantik percintaan watak-watak yang dilakonkan oleh Vanida Imran dan Hans Isaac?
Saya mungkin tidak dapat memberikan satu, dua atau tiga jawapan sahaja. Walaupun mungkin ada yang nampak kurang sempurna, namun terdapat banyak aspek-aspek dominan lain dalam Teater Muzikal Cuci ini yang tampak hebat.
Mesej tersiratnya membuatkan saya bangga terhadap penulis skrip, Harith Iskander dan Douglas Lim. Muzik olahan Rudi Muhammad membuatkan saya terangguk-angguk mengikut rentak lagu-lagunya. Dan aksi suspen di penghujung cerita ini membuatkan saya bertanya soalan karut kepada penonton di sebelah, awak nampak apa yang terjadi itu? Satu kelip mata sahaja akan menyebabkan anda terlepas detik cemas ini!
Bukan suatu yang mudah untuk membuatkan orang ketawa. Jenaka tidak dapat diulang guna. Tiada yang ketawa tika sudah dapat mengagak lawak yang ingin disampaikan. Tambahan lagi jika jenaka secara langsung di atas pentas. Sangat berisiko. Jika lawak anda tidak menjadi, tiada peluang kedua. Penonton-penonton sama ada akan menguap dan senyum sinis, atau terpinga-pinga. Tiada ruang untuk menjelaskan lawak anda.
Namun semua itu bagai nampak mudah untuk Hans Isaac, Awie, AC Mizal, Afdlin Shauki, Harith Iskander, Ramli Hassan dan Adibah Noor. Dengan aksi spontan, segar dan bersahaja, panggung Istana Budaya ternyata gamat setiap malam dengan hilai tawa penonton-penonton! Saya sendiri sudah berulang kali fikir untuk pergi menonton kali kedua!
Awie, Hans Isaac, Afdlin Shauki dan AC Mizal mendukung watak utama dalam teater ‘Cuci The Musical’ – Foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Oh ya, untuk pengetahuan ringkas, ruang duduk di Istana Budaya hanya membenarkan anda duduk dengan lutut bertemu kerusi di hadapan anda, atau dalam erti kata lain, ruang kaki yang kecil. Jika ada yang ingin ke tempat duduk sebelah anda, anda harus bangun untuk memberikan laluan – bukan sekadar mengalihkan sedikit kaki anda seperti di panggung Golden Screen Cinema, tetapi bangun dan berdiri, menaikkan tempat duduk anda dan mengambil satu langkah ke belakang.
Saya bangun dan duduk lebih empat kali sepanjang pementasan kerana kelewatan beberapa penonton. Bukan sahaja saya yang terganggu dengan kelewatan anda, malah penonton-penonton di belakang dan di sepanjang barisan tempat duduk saya juga terlepas beberapa detik sebanyak empat kali. Jika mahu gelak pun, terpaksa batalkan niat untuk bangun berdiri, kerana anda lewat. Bukan sahaja di awal pementasan, malah selepas waktu rehat.
Jadi, mohon rancang jadual harian dan perjalanan anda sebelum berkunjung ke Istana Budaya walau untuk sebarang bentuk persembahan pentas. Kelewatan anda barangkali tiada maafnya. Walaupun peraturan Istana Budaya tidak membenarkan penonton yang lewat untuk memasuki panggung sehingga waktu rehat, namun jika anda bernasib baik, anda mungkin hanya terlepas beberapa minit pertama persembahan. Atau mungkin juga sudah sampai masanya untuk anda dapatkan jam tangan yang baru?
Adakah anda mempunyai pengalaman yang lebih menarik? Kongsikan di kotak komen di bawah!


