Bittersweet akan bermain di Cloth and Clef pada 20 Februari 2010! Baiklah, anda sudah menjerit, tepuk tangan dan mungkin mengangkat tangan seperti anda memenangi acara lumba lari? Saya mempunyai berita tidak baik.

Saya masih ingat persembahan Bittersweet di atas bumbung Sungei Wang pada hujung tahun 2008. Seperti biasa, penonton-penonton bagaikan hilang akal apabila kumpulan ala British ini naik ke atas pentas. Dan bukan luar biasa apabila muda-mudi ini sudah mula dengan tarian hiruk-pikuk mereka walaupun Bittersweet baru sahaja memulakan ritual semak bunyi (sound check).

Saya percaya Bittersweet adalah satu-satunya kumpulan muzik yang berjaya merasuk penonton-penontonnya melalui ritual semak bunyi. Mungkin mereka perlu mempertimbangkan agar alunan semak bunyi ini dimasukkan juga ke dalam album baru mereka.
Pernah melihat vokalis menyanyi diselang-seli dengan hisapan nikotin rokok? Pijie vokalis Bittersweet adalah orangnya. Ini mengingatkan saya kepada Rich vokalis Estranged yang memulakan persembahan di Sunburst 2009 dengan bir di tangan, dan meneguknya setiap kali berkesempatan. Tetapi, itu cerita lain.
Pijie mungkin tidak dapat mengulang sejarah ditemani rokok di atas pentas kali ini. Bukan, beliau tidak dikenakan sebarang amaran atau tindakan displin. Anda juga mungkin harus menyusun jadual merokok anda nanti. Kerana berita tidak baiknya ialah, Cloth and Clef adalah kawasan bebas rokok!
Jika cabaran tidak merokok ini adalah mudah bagi anda, dapatkan tiket secepat mungkin dengan menghubungi 016 591 0277 kerana jemputan terhad kepada 150 orang sahaja!
Popularity: 19% [?]